Menggunakan tetikus untuk melayari menu atau applikasi sudah sinonim buat pengguna komputer. Namun, penggunaan pintasan papan kekunci akan meningkatkan kecekapan anda. Ini mungkin tidak banyak, namun mampu mengurangkan banyak masa melakukan aktiviti di hadapan komputer.
Itulah sebabnya penting untuk anda mengetahui beberapa pintasan untuk sistem operasi anda. Ayuh cuba beberapa arahan papan kekunci di bawah. Berikut adalah pintasan papan kekunci Windows 10 yang sangat diperlukan untuk pengguna Microsoft Windows, terutama untuk keyboard warriors.
Pintasan Asas
1. Pilih semua, salin, potong dan tampal
Ini adalah pintasan papan kekunci Windows yang paling banyak dimanfaatkan oleh para pengguna. Dengan hanya empat kombinasi papan kekunci ini, anda mampu menjimatkan banyak masa melakukan aktiviti di hadapan komputer.
- Ctrl + A untuk memilih semua teks dalam dokumen mahupun fail dalam folder.
- Ctrl + C untuk menyalin mana-mana teks atau fail yang dipilih
- Ctrl + X untuk memotong dan kedua-duanya akan diletakkan di dalam papan keratan sebelum diguna semula.
- Ctrl + V untuk menampal salinan atau keratan dari papan keratan ke destinasi yang anda ingini.
2. Buat asal dan buat semula tindakan
- Ctrl + Z membantu anda mengembalikan tindakan terakhir anda tanpa mengira applikasi. Sama ada anda tersalah buang dokumen mahupun terpadam keseluruhan perenggan.
- Ctrl + Y pula akan membuat semula tindakan terakhir anda.
3. Tutup tetingkap aktif
- Ctrl + W akan menutup apa sahaja applikasi yang anda sedang lihat sama ada folder, pelayar web, atau sebagainya tanpa perlu mengklik pada butang tutup.
- Alt + F4 turut menutup applikasi aktif sama seperti Ctrl + W. Namun, sekiranya tiada tetingkap aktif, menggunakan Alt +F4 akan membuka dialog menutup Windows.
4. Tukar antara aplikasi terbuka Windows
- Alt + Tab membolehkan anda melihat semua tetingkap terbuka dan memilih di antaranya apabila anda menjalankan banyak aplikasi.
Pintasan Desktop
5. Papar atau sembunyi desktop
- Win + D mengecilkan semua tetingkap terbuka anda, menjadikan hanya skrin utama anda kelihatan. Pintasan terbaik sekiranya anda mahu menyembunyikan kesemua applikasi yang anda sedang gunakan.
6. Mengubah paparan applikasi
- Win + anak panah kiri atau kanan membolehkan anda membuka applikasi di sebahagian skrin kiri atau kanan (sesetengah skrin mampu menampung lebih dari dua paparan dalam satu-satu masa) bergantung pada arah yang anda tekan.
- Win + anak panah atas atau bawah membolehkan anda mengecilkan dan membesarkan applikasi.
Pintasan File Explorer
7. Menamakan semula
- F2 membolehkan anda mengubah nama fail atau folder pilihan anda serta-merta menggunakan tanpa perlu klik-kanan pada tetikus dan memilih ‘rename’.
8. Menyegarkan
- F5 akan menyegarkan halaman folder atau desktop anda tanpa perlu menutup dan membuka semula. Anda akan melihat versi terbaru halaman selepas membuat perubahan.
Kebanyakan masa Windows mampu mengemas kini paparan anda dalam masa sebenar, namun kadang kala kekunci F5 sangat membantu.
9. Mengunci komputer
- Win + L mengunci komputer dan mengembalikan anda ke skrin log masuk, menjadikan pengguna memerlukan kata laluan untuk memasuki semula komputer anda.
Oleh itu, setiap kali anda ingin melangkah pergi dari komputer anda, anda dapat meletakkan komputer anda dalam keadaan yang selamat dengan hanya menekan kombinasi kekunci ini.
10. Buka Tetapan
- Win + I untuk memunculkan dialog Tetapan.
Ianya berguna apabila anda ingin menetapkan cara Windows berfungsi.
11. Buka Pengurus Tugas
Pengurus Tugas adalah tetingkap untuk anda memantau applikasi yang sedang berjalan.
- Ctrl + Shift + Esc akan membuka Pengurus Tugas dengan cara yang paling pantas.
12. Buka menu ‘Quick Link’ Windows
Akhir sekali, Windows mempunyai menu ‘Quick Link’ yang membolehkan anda mengakses semua bidang utama sistem. Dari sini, anda boleh melangkah terus ke Sistem, Pengurus Peranti, Tetapan atau PowerShell di mana anda boleh mengakses perintah Windows lanjutan.
- Win + X untuk membuka ‘Quick Link’.
Dengan mengetahui kesemua 12 pintasan papan kekunci Windows ini, anda pasti akan kelihatan lebih cekap menjadi seorang programmer. Dapatkan tips lanjut berkaitan pengaturcaraan dalam artikel ini.