Sebagai pekerja di bahagian sumber manusia, anda perlu tahu tentang Analisis kerja. Analisis kerja merupakan suatu proses pengumpulan maklumat tentang tugas, tanggungjawab, jenis kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang berkenaan. Analisis tersebut akan membantu dalam perancangan, pengrekrutan, latihan, penilaian prestasi dan pemberian ganjaran kepada pekerja kelak. Anda pastinya selalu mendengar berkenaan ‘job description’ dan ‘job specification’ bukan? Ia merupakan hasil dari analisis kerja yang dilakukan oleh HR iaitu huraian kerja dan spesifikasi kerja.
Huraian Kerja

Huraian kerja adalah penerangan mengenai tanggungjawab dan senarai tugas yang pekerja tersebut perlu laksanakan. Kebiasaanya, ia perlu dibuat sebelum mengiklankan sesuatu jawatan kosong supaya calon tahu tentang peranan dan tanggungjawab mereka jika mereka terpilih dan supaya tidak HR tidak tersilap memilih pekerja. Maklumat yang perlu ada dalam huraian kerja adalah nama jawatan, lokasi kerja, senarai tugas, perhubungan antara pemegang jawatan dan pihak lain, waktu bekerja dan lain-lain yang berkaitan dengan pekerjaan tersebut. Dalam kata yang mudah, ia menggambarkan tugas dan tanggungjawab jawatan tersebut tersebut.
Spesifikasi kerja

Spesifikasi kerja pula menyatakan maklumat tentang keupayaan, pendidikan, pengalaman kerja, kemahiran dan personaliti untuk melakukan sesuatu kerja. Ianya boleh disediakan selepas huraian kerja dirangka. HR perlu menyenaraikan berkenaan kelayakan, kemahiran dan kebolehan yang diperlukan untuk melaksanakan tugas dengan baik. Sebagai contoh, jika jawatan Pengurus Pemasaran, anda perlu mempunyai kelayakan 5 tahun pengalaman dalam bidang pemasaran, kemahiran untuk menjadi ketua atau memimpin dan lain-lain yang berkaitan. Maklumat yang perlu ada dalam spesifikasi kerja adalah pengetahuan dan pendidikan, kemahiran, ciri-ciri fizikal dan keperibadian.
Secara mudahnya, perbezaan antara huraian kerja dan spesifikasi kerja adalah huraian kerja lebih kepada jawatan tersebut. HR perlu menganalisa tentang tugas dan tanggungjawab sesuatu jawatan supaya pekerja peka akan tanggungjawab dan tugas mereka. Manakala bagi spesifikasi kerja pula lebih kepada individu yang menyangdang jawatan tersebut. HR akan menganalisa ciri-ciri yang perlu ada pada individu yang akan mengisi jawatan tersebut. Jika anda hendak belajar lebih mendalam mengenai Pengurusan Sumber Manusia, anda boleh pelajarinya di ILHAMI.