Penyata Aliran Tunai (Cash Flow Statement) merupakan salah satu laporan pada Penyata Kewangan. Ia melaporkan aktiviti aliran wang keluar dan masuk dan menunjukkan kedudukan kewangan syarikat bagi sesuatu tempoh. Tiada non-cash item yang ditunjukkan di sini. Hanya wang terima dan wang dibelanjakan syarikat yang direkodkan disini.
Laporan ini menunjukkan bagaimana sesebuah syarikat mengurus kewangan tunai mereka. Aktiviti aliran wang keluar masuk ini di kategorikan kepada 3 bahagian (3 komponen Penyata Aliran Tunai) iaitu.

- Aliran tunai dari aktiviti operasi (Cash Flow from Operating Activities)
- Aliran tunai dari aktiviti pelaburan (Cash Flow from Investing Activities)
- Aliran tunai dari aktiviti kewangan (Cash Flow from Financing Activities)
Apabila jumlah aliran tunai dari ketiga-tiga kategori ini ditambah, ia akan memberikan jumlah aliran tunai bagi sesuatu tempoh. Jumlah aliran tunai ini pula akan dicampurkan dengan baki tunai dari tempoh sebelum ini untuk mendapatkan baki tunai semasa.
Mari kita lihat definisi ketiga-tiga komponen aliran tunai ini:
Aliran Tunai dari Aktiviti Operasi
Pada bahagian ini, sebarang aktiviti aliran tunai berkaitan dengan operasi perniagaan akan ditunjukkan disini. Ia merangkumi aktiviti menjalankan perniagaan seperti menerima wang dari pelanggan apabila menjual produk atau servis, pembayaran atas pembelian bahan mentah, pembayaran gaji, kos pemasaran, penerimaan lebihan cukai atau pembayaran cukai dan lain-lain aliran tunai dari perniagaan.
Aliran tunai dari aktiviti operasi berbeza dengan keuntungan atau kerugian pada Penyata Untung Rugi kerana Penyata Untung Rugi disediakan berdasarkan ‘Accrual Basis’ sedangkan pada penyata aliran tunai, hanya transaksi melibatkan wang sahaja akan direkodkan. Sebagai contoh, kita boleh merekodkan jualan sebanyak RM10,000 pada Penyata Untung Rugi sedangkan jualan ini adalah secara kredit. Ini bermakna ada pelanggan yang masih belum membayar keseluruhan RM10,000 ini.
Aliran Tunai dari Aktiviti Operasi ini boleh disediakan dalam 2 format iaitu (i) Direct Method dan (ii) Indirect Method. Direct Method disediakan dengan mengambil jumlah tunai pendapatan dari aktiviti perniagaan dan ditolak dengan jumlah tunai perbelanjan. Berbeza dengan Indirect Method, dimana jumlah aliran tunai dikira dengan mengambil keuntungan dari Penyata Untung Rugi dan mengeluarkan balik non-cash items dan beberapa penyesuaian lain. Kebanyakan syarikat diluar sana akan menggunakan kaedah Indirect Method. Kedua-dua format akan menunjukkan jumlah aliran tunai yang sama.
Aliran Tunai dari Aktiviti Pelaburan
Sebarang aktiviti yang melibatkan pelaburan akan direkodkan disini. Aktiviti pelaburan disini termasuk membeli dan menjual aset, membeli dan menjual pelaburan saham dan lain-lain instruments. Sekiranya jumlah aliran tunai dari bahagian ini adalah negative (duit keluar lebih banyak dari duit masuk), ia tidak semestinya bermaksud sesuatu yang buruk. Banyak kemungkinan dan senario yang berlaku sekiranya aliran keluar lebih banyak pada bahagian ini dan salah satunya syarikat tersebut membeli aset yang banyak bagi bertujuan untuk mengembangkan perniagaan mereka. Sudah tentu aliran tunai pada bahagian ini akan menjadi negative.
Aliran Tunai dari Aktiviti Kewangan
Pada bahagian ini, sebarang aliran tunai berkaitan dengan kewangan sama ada hutang atau ekuiti akan direkodkan disini. Ia termasuk membayar hutang, atau mengambil hutang baru, memasukkan modal di dalam perniagaan, pembayaran dividen, pengeluaran saham baru, share buy-back dan lain-lain.
Ikuti kursus asas perakaunan di Ilhami.my untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci berkenaan Penyata Kewangan dan jangan lupa untuk sertai kami di facebook!