Penyata Untung Rugi (Income Statement atau Statement of Profit and Loss) merupakan salah satu laporan Penyata Kewangan. Ia menunjukkan jumlah jualan sesuatu syarikat, jumlah perbelanjaan dan jumlah keuntungan atau kerugian bagi sesuatu tempoh.
Penyata Untung Rugi terdiri dari dua komponen utama iaitu Pendapatan dan Perbelanjaan. Dari dua komponen utama ini pula dipecahkan lagi seperti gambar rajah berikut:

Mari kita fahami komponen-komponen yang terdapat pada Penyata Untung Rugi:
Jualan (Revenue)
Jualan merupakan nilai produk atau servis yang dijual. Ia merupakan komponen pertama yang ditunjukkan pada Penyata Untung Rugi. Kita ambil contoh, Syarikat ABC mempunyai 6 cawangan restoran makanan segera dan produk yang dijual adalah burger. Maka jualan bagi Syarikat ABC adalah set-set atau combo burger yang terjual.
Jualan merupakan salah satu indikator penting pada perniagaan dan indikator yang sering digunakan ialah Sales Growth dimana indikator ini menunjukkan kadar pertumbuhan jualan perniagaan.
Mempunyai jualan yang tinggi tidak bermaksud sesebuah perniagaan itu membuat keuntungan. Jualan, sebagai pendapatan utama perniagaan, hendaklah lebih tinggi berbanding perbelanjaan-perbelanjaan lain untuk menjana keuntungan.
Kos Jualan (Cost of Sales)
Komponen kedua dan juga perbelanjaan pertama pada Penyata Untung Rugi. Kos jualan adalah perbelanjaan yang terlibat secara langsung dalam menghasilkan sesuatu produk. Contoh pada Syarikat ABC tadi, dalam proses pembuatan burger, beberapa bahan mentah diperlukan untuk menghasilkan burger tersebut seperti daging kisar atau petty, sayur-sayuran, wrapping paper untuk membungkus burger dan bahan-bahan lain. Segala perbelanjaan untuk menghasilkan burger atau produk yang dijual akan diklasifikasikan sebagai Kos Jualan.
Untung Kasar (Gross Profit)
Kita akan dapat mengetahui untung kasar atau rugi kasar sesebuah perniagaan dengan (i) Jualan tolak (ii) Kos Jualan. Dalam bahasa lain, ia bermaksud berapa banyak lebihan pendapatan dari jualan selepas menolak kos-kos untuk menghasilkan produk. Untung Kasar adalah salah satu kayu ukur yang penting dalam mengetahui keuntungan syarikat.
Gross Profit Margin (GP Margin) pula adalah satu nisbah keuntungan (profitability ratio) dimana ia dikira dari Untung Kasar dibahagi dengan Jualan. GP Margin menunjukkan kecekapan sesebuah syarikat dalam menguruskan kos-kos yang terlibat secara langsung dengan produk. Secara amnya, semakin tinggi GP margin, semakin bagus. GP Margin juga boleh digunakan untuk perbandingan satu syarikat dengan GP Margin dari syarikat lain yang berada dalam industri yang sama.
Pendapatan Lain
Pendapatan Lain merupakan pendapatan yang diperoleh selain dari perniagaan utama syarikat. Sebagai contoh pada Syarikat ABC yang menjual burger tadi, Syarikat ABC menjual meja makan restoran kerana ingin menggunakan meja yang baru. Keuntungan dari jualan meja ini hendaklah direkodkan sebagai Pendapatan Lain kerana perniagaan utama Syarikat ABC adalah menjual burger dan bukan menjual meja. Begitu juga jika mendapat faedah atau dividend didalam pelaburan jangka pendek, pendapatan ini hendaklah direkod di dalam Pendapatan Lain.
Perbelanjaan Lain
Perbelanjaan lain merujuk kepada perbelanjaan selain dari Kos Jualan. Ia boleh dibahagi kan lagi kepada beberapa kategori seperti Perbelanjaan Pentadbiran (Administration Expenses), Perbelanjaan Pemasaran (Selling and Marketing Expenses), Perbelanjaan Kewangan (Finance Expenses), dan Perbelanjaan Operasi (Other Operating Expenses).
Di sinilah sesuatu perniagaan akan merekodkan perbelanjaan lain seperti sewa pejabat, pembelian alat tulis, kos pemasaran, bil-bil utiliti, kos penggajian dan lain-lain. Terdapat juga kos-kos anggaran yang dibuat (provision) seperti anggaran kos audit, susut nilai aset dan lain-lain. Kebanyakan syarikat menyediakan Penyata Kewangan dalam bentuk Accrual Basis.
Untung Bersih
Setelah mengira kesemua pendapatan dan perbelanjaan termasuk cukai, kita akan mendapat nilai keuntungan atau kerugian bersih sesuatu syarikat. Dalam kata lain, ia adalah hasil sesebuah syarikat selepas menolah kesemua perbelanjaan.
Indikator yang biasa digunakan pada Untung Bersih adalah Profit Margin. Dikira dari jumlah keuntungan bahagi dengan jualan. Profit Margin menunjukkan peratusan keuntungan sesebuah syarikat dari hasil jualan. Semakin tinggi margin, semakin bagus. Ia juga boleh digunakan untuk membuat perbandingan dengan syarikat lain dalam industri yang sama. Jika margin yang tinggi berbanding syarikat lain, ia menunjukkan syarikat berkenaan mampu peroleh keuntungan yang lebih optimis dan mampu mengawal perbelanjaan dengan cekap.
Penyata Untung Rugi akan dibentangkan secara terperinci di dalam kursus perakaunan di Ilhami.my. Sertai kursus di Ilhami.my untuk mengetahui lebih lanjut. Jangan lupa ikuti kami di facebook!