
Pernah tak anda terfikir untuk manjalankan perniagaan pada suatu hari nanti? Anda terbayang memiliki empayar perniagaan sendiri. Anda bangunkan sendiri dari bawah sehingga ke perniagaan yang berjaya. Atau anda telah pon mula berniaga dan memiliki perniagaan Enterprise dan mempunyai syarikat sendiri (Sdn Bhd). Namun, adakah anda tahu terdapat pelbagai jenis perniagaan yang terdapat di Malaysia?
Disini saya senaraikan beberapa jenis perniagaan yang ada di Malaysia:
1. Milikan tunggal/Sole Proprietorship (Enterprise)
2. Perkongsian/ Partnership (Enterprise)
3. Koperasi
4. Sendirian Berhad (Sdn Bhd)
5. Berhad
Menjadi kebiasaan bagi ramai peniaga di luar sana untuk mulakan perniagaan mereka dengan Enterprise atau Sdn Bhd. Ada juga yang mulakan dengan Enterprise dahulu dan kemudian tukar ke Sdn Bhd. Apa perbezaan mereka? Apa beza mereka?
Dengan mengetahui maklumat berkenaan kedua-dua jenis perniagaan ini, ia dapat membantu kita untuk merancang perjalanan perniagaan kita kerana ada perniagaan yang sesuai bermula dengan Sdn Bhd dan ada yang sesuai bermula dengan Enterprise. Ia bergantung pada keadaan perniagaan dan ‘resources‘ masing-masing. Mari saya kongsikan perbezaannya:
Undang-undang dan peraturan
Dari sudut undang-undang, Enterprise dikawal selia dibawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Pemilik dan juga perniagaan di anggap sebagai satu entiti yang sama. Sekiranya ada hutang yang ditanggung oleh perniagaan atau ada saman yang dikenakan ke atas perniagaan, secara tak langsung ia ditanggung oleh pemilik perniagaan juga.
Berlainan dengan Sdn Bhd, dikawal selia dibawah Akta Syarikat 2016, dimana liabiliti syarikat adalah terhad. Sebarang liabiliti syarikat tidak ditanggung oleh pemilik syarikat. Bagi Sdn Bhd, setiausaha syarikat perlu dilantik dalam tempoh 30 hari selepas dibangunkan. Penyata Kewangan yang telah diaudit juga perlu dihantar ke SSM setiap tahun.
Pemilikan dan pengurusan
Di bawah Enterprise, ia boleh dijalankan dengan seorang pemilik dan maksima 20 orang rakan kongsi (Partnership).
Pada Sdn Bhd, anda boleh jadi pemegang saham tunggal dan maksima pemegang saham bagi sesuatu syarikat adalah seramai 50 orang.
Pendapatan dan percukaian
Segala keuntungan yang dijana dibawah perniagaan Enterprise adalah sebahagian daripada pendapatan persendirian. Kedua-dua pendapatan ini akan dicukai dari kadar 0% sehingga 30%. Walau pun tidak diwajibkan untuk di audit dan tidak perlu menghantar penyata kewangan pada SSM, pemilik perniagaan perlu menghantar dan mengisytihar pendapatan dan cukai mereka kepada LHDN dengan menggunakan Borang B.
Manakala keuntungan pada Sdn Bhd akan dicukaikan berdasarkan keuntungan syarikat sahaja dengan kadar maksima 24%. Bagi pemegang saham, mereka akan dikenakan cukai berdasarkan pendapatan persendirian mereka sahaja. Walaupun kadar cukai maksima Sdn Bhd hanya 24% berbanding Enterprise, ia tidak bermakna cukai bagi Sdn Bhd lebih rendah dari Enterprise.
Modal
Modal pada perniagaan Enterprise boleh dibawa masuk atau keluar dengan mudah. Sebarang duit peribadi yang masuk ke dalam perniagaan dikira modal. Begitu juga jika kita guna duit perniagaan untuk tujuan peribadi, bermaksud modal dibawa keluar.
Bagi Sdn Bhd, perubahan modal bukanlah perkara yang mudah. Sebarang perubahan perlu di daftarkan di SSM dan setiausaha syarikat yang akan uruskan hal ini.
Kesimpulan
Setiap jenis perniagaan ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Tidak salah untuk kita mulakan perniagaan dengan Enterprise atau Sdn Bhd dahulu. Atau pun mula dengan Enterprise dan tukar ke Sdn Bhd apabila masa yang sesuai telah tiba. Setiap pemilik perniagaan perlu tahu perbezaan antara dua jenis perniagaan ini dan lihat pada keadaan diri sama ada sesuai untuk mulakan perniagaan dengan Enterprise atau Sdn Bhd.
Ikuti perkembangan ILHAMI dengan Like & Follow page ILHAMI dan jangan lupa dapatkan kursus-kursus yang menarik di platform ILHAMI.