Pekerja merupakan aset penting dalam sesebuah organisasi. Mereka merupakan orang yang menggerakkan organisasi maju kehadapan, tanpa pekerja adakah organisasi anda akan berjaya berkembang dengan baik? Tentulah tidak, sesebuah organisasi memerlukan pekerja untuk melakukan tugas-tugas tertentu, majikan perlu membuat delegasi tugas supaya operasi organisasi dapat berjalan dengan cepat dan teratur. Namun, untuk mencari pekerja adalah benda yang mudah tetapi untuk mendapatkan seorang pekerja yang berkualiti dan cemerlang ia adalah perkara yang agak susah. Semestinya majikan ingin mendapatkan pekerja yang berkualiti dan dapat membantu membangunkan organisasi mereka. Jadi kepada anda yang bergelar pekerja, anda boleh ikuti beberapa tips untuk menjadi pekerja cemerlang dibawah:
Pengurusan Masa

‘Masa Itu Emas’ saya pasti anda semua pernah dengar peribahasa ini. Peribahasa ini menggambarkan betapa pentingnya masa itu. Pengurusan masa adalah perkara yang sangat penting tidak kira dalam urusan peribadi mahupun urusan kerja anda. Sentiasalah amalkan menyediakan perancangan kerja tahunan yang teratur. Setiap bulan sediakan senarai semak apa perkara yang perlu dilaksanakan mengikut keutamaan. Dengan adanya perancangan dan senarai semak akan dapat membantu anda supaya tidak tersasar dari sasaran yang ditetapkan dan tidak menyusahkan rakan kerja yang lain sekiranya kelewatan adalah berpunca daripada pihak kita sendiri. Majoriti daripada kita bekerja secara berkumpulan, jangan disebabkan kelewatan dan kegagalan kita menguruskan masa menyebabkan pekerja lain yang cemerlang terpalit dengan imej buruk kita. Ini tidak adil pada orang lain. Bukan itu sahaja, elakkan juga kerja di saat-saat akhir kerana akan menyusahkan pihak lain dan menyebabkan kesilapan demi kesilapan dilakukan kerana membuat kerja secara tergesa-gesa. Kerja di saat akhir juga membuatkan anda tidak dapat menyemak semula kerja-kerja anda.
Disiplin

Tips menjadi pekerja cemerlang dan berkualiti yang seterusnya adalah disiplin. Disiplin merupakan faktor yang penting untuk menentukan sama ada anda seorang pekerja yang cemerlang atau tidak. Tiada majikan yang mahukan pekerja yang tidak berdisiplin. Sila jaga masa kehadiran dan keberadaan anda di pejabat. Rekod kehadiran yang cemerlang adalah melambangkan imej kita. Pekerja yang sering hadir lewat seringkali memberikan alasan yang sama berulang kali. Kenapa kita perlu ulang kesalahan yang sama sedangkan kita boleh rancang perjalanan kita ke pejabat dengan lebih baik. Kita diberi masa yang tidak kurang dan tidak lebih 24 jam sehari dan setiap orang mempunyai lingkungan masalah masing-masing. Disiplin bukan sahaja bergantung pada masa kehadiran anda, tetapi banyak lagi perkara yang boleh dikaitkan dengan disiplin contohnya, pemakaian, tingkah laku, sikap dan sebagainya. Rancang juga cuti tahunan yang diberikan supaya tidak melebihi cuti yang dibenarkan. Cuti sakit pula hanya digunakan ketika sakit bukan hanya untuk suka-suka bercuti. Pastikan anda jadikan polisi syarikat anda sebagai rujukan, jangan melanggar undang-undang syarikat yang telah ditetapkan.
Hormati Rakan Sekerja Anda

Tips yang terakhir adalah hormat kepada rakan sekerja anda. Jika anda ingin menjadi pekerja yang cemerlang, anda perlu mempunyai rasa hormat terhadap orang lain tanpa mengira pangkat, bangsa, umur dan sebagainya. Beramah mesra dengan rakan sekerja anda, cuba untuk bergaul tetapi perlu ada batasannya juga. Jangan suka bergurau mengenai isu-isu sensitif dan jangan juga memperlekeh kekurangan atau kesilapan orang lain, sebab tak semua orang boleh menerimanya. Tambahan lagi, jangan menjadi seorang yang ‘toxic’ dan negatif di tempat kerja anda. Sikap ini akan membuatkan anda tidak digemari rakan sekerja anda. Elakkan dari mengata atau bercakap mengenai keburukan orang lain. Hormati rakan sekerja anda sepertimana anda ingin dihormati oleh orang lain, jangan ada rasa dengki atau iri hati terhadap pencapaian rakan sekerja anda. Apabila rasa hormat diterapkan dalam diri setiap pekerja ia akan menciptakan suasana kerja yang positif dan semua orang bersemangat untuk bekerja.
Sertai kami di ilhami untuk ketahui lebih lanjut tentang Pengurusan Sumber Manusia.