Penilaian prestasi merupakan cara untuk majikan menilai prestasi kerja pekerja dalam organisasi. Penilaian prestasi merujuk kepada proses penyampaian maklum balas kepada pekerja secara berterusan tentang bagaimana mereka menjalankan tugas untuk organisasi. Pekerja yang dinilai hendaklah diberitahu secara lisan atau bertulis berkenaan dengan prestasinya sepanjang tempoh penilaian itu. Program penilaian prestasi yang berkesan dapat membantu mencapai objektif organisasi dengan melibatkan semua pekerja dalam program pembangunan yang berterusan. Dengan adanya penilaian prestasi, ia akan mengelakkan kesalahan dalam membuat keputusan mengenai kenaikan gaji, pengesahan jawatan, kenaikan pangkat dan sebagainya. Oleh yang demikian program dan proses penilaian prestasi bukanlah sesuatu program yang boleh diambil mudah. Ia memerlukan kerjasama dari semua peringkat dalam sesebuah organisasi. Antara tujuan mengapa perlunya penilaian prestasi pekerja dalam organisasi adalah untuk:
Perancangan Sumber Manusia

Tujuan penilaian prestasi pekerja yang pertama adalah untuk perancangan sumber manusia. Dengan adanya sistem penilaian prestasi yang sistematik dan teratur dalam sesebuah organisasi, pihak pengurusan dapat mengenalpasti jenis latihan yang diperlukan oleh pekerja. Selain itu, juga akan membantu menentukan kemahiran yang diperlukan untuk sesuatu bidang kerja disamping dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pekerja-pekerja dalam organisasi. Perkara ini dapat membantu bahagian sumber manusia untuk merancang perjalanan organisasi dan pekerja dengan baik. Mereka boleh mengatur latihan yang bersesuaian, faedah yang bermanfaat dan boleh jugak menambahbaik sistem penilaian prestasi dari semasa ke semasa.
Ganjaran yang Sesuai

Tujuan penilaian prestasi pekerja yang seterusnya adalah membantu pembuat keputusan dalam menentukan kenaikan gaji, bonus dan bentuk pampasan yang lain. Penilaian prestasi berguna sebagai asas kepada pihak pengurusan membuat keputusan bagi memberikan ganjaran yang bersesuaian kapada pekerja. Cuba anda bayangkan jika sesebuah organisasi tiada sistem penilaian prestasi atau sistem penilaian prestasi yang tidak berkesan, kesilapan dari segi pemberian ganjaran pasti akan berlaku, pihak pengurusan akan memberikan ganjaran kepada orang yang salah. Bukan itu sahaja, sistem penilaian prestasi yang baik juga boleh meningkatkan motivasi pekerja untuk terus berusaha menambahbaik prestasi kerja mereka dan bersiang secara sihat untuk mendapatakan ganjaran yang ditawarkan oleh organisasi. Jadi penting untuk anda sebagai organisasi melakukan penilaian prestasi untuk semua pekerja supaya ganjaran dapat diberikan kepada pekerja yang layak tanpa ada diskriminasi.
Keperluan Latihan dan Pembangunan

Tujuan penilaian prestasi pekerja yang terakhir adalah untuk keperluan latihan dan pembangunan. Selepas penilaian prestasi dibuat, pihak pengurusan atau bahagian sumber manusia akan mengenalpasti gap antara KPI yang telah ditetapkan dan juga prestasi pekerja tersebut. Tugas bahagian sumber manusia adalah untuk membantu pekerja-pekerja yang tidak mencapai KPI dengan memberikan latihan yang bersesuaian mengikut kelemahan mereka. Pemilihan latihan yang tepat sangat membantu dalam penambaikan prestasi kerja jadi jika tiada penilaian prestasi bagaimana anda dapat mengenalpasti kelemahan pekerja. Perkara ini akan merugikan organisasi kerana menyimpan pekerja yang tidak membantu dalam mencapai objektif organisasi. Begitu juga dengan pencapaian pekerja yang baik dapat mencerminkan potensi untuk dikembangkan.
Jom ikuti telegram ilhami dan ketahui lebih lanjut berkenaan kursus Pengurusan Sumber Manusia.